Saturday 2 June 2012

Antologi Si Pembuli; Romantika Si Pembuli Bab 1


“APA?!!!!!!!!!”
Dura tergamam. Lelahnya mendaki tangga ke tingkat tiga hilang. Matanya membulat, mulutnya ternganga. Matanya terasa panas membahang.
“Kau tak faham bahasa melayu ke kau memang tuli? Aku kata minit mesyuarat untuk perjumpaan exco hari tu dah hilang. Cikgu Wahid nak tengok pukul 3 nanti. Jadi kau kena buat baliklah. Pukul dua atas meja aku.”
Lelaki itu memberi arahan mandatori tanpa langsung memandang mukanya. Sabar.. sabar.. Kalau bukan sebab dia ketua pelajar sekolah ni, dah lama aku lemaskan dia dalam kolam ikan penuh berlumut tu, sabar..Dura menarik nafas panjang, cuba mengawal emosinya.
“Tapi sekarang dah pukul 1.30, lagipun saya belum habis lagi kumpul laporan cadangan aktiviti hari kebudayaan dari pelajar tingkatan 5. Tak boleh ke bagi masa lebih sikit?”
Lelaki itu memalingkan mukanya. Dura meneguk air liur. Dia ni nama saja muka handsome tapi masam memanjang. Nak senyum pun kedekut.
“Cik  Adura Seri Intan Binti Kamal Ariffin, sekarang ni siapa ketua? Aku kata aku nak minit mesyuarat tu atas meja aku pukul 2, maknanya aku nak benda tu atas meja aku pukul 2. Kau kan setiausaha, itu dah memang kerja kau. Jadi jangan banyak cakap, buat sajalah.”
Titik . Nampaknya memang tak ada peluang nak berunding langsung. Dura mengetap gigi, aku setiausaha saja, bukan hamba abdi kau! Sudahlah kerja aku dua kali ganda lebih banyak daripada ahli jawatankuasa yang lain, setiap kali aku siapkan kerja ada saja yang tak kena. Hilanglah, lupa letak manalah, silaplah… Tadi pun aku seorang terpaksa pusing satu sekolah kumpul laporan, bukan nak tolong ke apa! Dari pagi tadi sampai sekarang tak sempat nak makan. Tak ada perikemanusiaan betul!
“Yang kau berdiri macam orang bodoh kat depan pintu tu kenapa? Buatlah kerja!”
“Ya..”
Dura menjawab acuh tak acuh. Langkahnya longlai dek kerana lapar dan keletihan. Dari hujung matanya Iskandar melirik pandangan kearah gadis itu. Belakang uniformnya basah bermandi peluh. Iskandar tersenyum.
*************************************************************************************
“Baiklah, kalau ada apa-apa lagi saya akan beritahu kemudian. Jadi setakat ni ada lagi perkara lain yang awak nak laporkan?”
“Setakat ni tak ada apa-apa. Persiapan untuk hari kebudayaan pun berjalan lancar cikgu.”
Wahid merenung wajah Iskandar lama.
“Ada apa-apa yang tak kena dengan muka saya ke cikgu?”
Iskandar tersenyum, membalas kerlingan Wahid. Cikgu muda itu mengeluh.
“Kau jangan nak kelentong aku lah Is, aku ni abang kau. Kau buli budak tu lagi kan?”
“Apa yang abang cakap ni, saya tak fahamlah. Buli? Siapa yang saya buli?”
Iskandar masih lagi tersenyum tenang. Wahid mengangkat kening.
“Budak mana lagi..si Adura tu lah. Setiap kali kau senyum macam tu, mesti kau dah buat sesuatu kat budak tu kan? Mengaku jelah.”
“Oh, abang ni hebatlah, boleh baca muka orang, haha.”
“Haha kepala otak kau! Huh, kalau aku larang pun hati batu kau tu bukan nak ikut. Cuma beringat sikit, anak dara orang tu kau jangan buat main-main. Nanti tak pasal-pasal menjawab dengan mak bapak dia..”
“Saya cuma suruh dia buat kerja saja, bukan saya buat benda tak senonoh dekat dia. Jangan risau cikgu. Jadi kalau tak ada apa-apa lagi saya pergi dulu cikgu.”
“Ya..”
Iskandar memberi salam sebelum berlalu pergi. Wahid menggeleng kepala, pening dengan perangai adik bongsunya itu. Dia tidak pernah menyangka Iskandar akan bertindak sebegitu. Semuanya sejak dia bertemu gadis itu..
*************************************************************************************
“Haa……….”
Langkah Dura longlai, lambat-lambat menuju ke katil. Sampai saja dia terus rebah, tenaganya sudah habis. Mir, rakan sebiliknya mengikuti langkah Dura dengan ekor matanya.
“Lambat balik?”
“Si raksasa tu suruh aku buat balik minit mesyuarat yang hilang last minute. Dah la bagi masa semput- semput je, separuh mati aku taip balik benda alah tu. Takde hati perut betul. Monyet gunung, ayam pancit tak sedar diri, ARGHH!!”
Mir tertawa kecil. Sudah sedia maklum kebencian menggunung sahabatnya itu terhadap ketua pelajar sekolah mereka.
“Kalau kau memang benci sangat dengan dia kenapa kau jadi setiausaha exco tertinggi? Padan muka..”
“Bukan aku yang nak! Dia yang pilih semua ahli, dasar gila kuasa! Aku dah cuba tolak, tapi kalau aku tak nak jawatan tu, 10 peratus merit aku lesap. 10 PERATUS! Kejam, hantu langsuir, katak buncit! Aku nak bunuh dia!!!”
Dura menumbuk-numbuk batal, melepaskan geram. Mir menggeleng, malas hendak melayan Dura. Dia meneruskan bacaannya yang terganggu. Setelah puas mengamuk, Dura memeluk pula bantalnya. Kali ini giliran dia pula memerhatikan Mir.
“..Kau baca buku apa?”
“Sherlock Holmes.”
“Siapa tu?”
“Cis kau ni, kalau tak tahu jangan kacaulah!”
“Hmph!”
Suasana kembali sepi. Mir memang begitu, tak banyak bercakap. Berbanding Dura dan rakan-rakan sebaya yang lain, Mir lebih matang. Malah dia sangat cemerlang dalam pelajaran. Walaupun dia masuk ke sekolah itu lewat berbanding rakan-rakan yang lain, sewaktu tingkatan 3, dia merampas tempat pertama dalam tingkatan dengan mudah. Iskandar yang sebelum ini sentiasa memegang tempat teratas pun terpaksa tunduk kepadanya.
   Sewaktu mengetahui dia  sebilik dengan Mir sewaktu baru memasuki tingkatan empat, Dura sempat meneguk air liur. Dia tidak tahu bagaimana hendak berkawan dengan pelajar elit sebegitu. Kerana dia sedia maklum dirinya tidak sehebat mana, tempat puluh-puluh sahaja setiap kali peperiksaan. Mujurlah Mir tidak berperangai sebagaimana pelajar-pelajar cerdik yang lain, dia melayan setiap rakan-rakannya tanpa beza. Malah dia amat menjaga Dura, membantunya dalam pelajaran dan masalah lain. Mir seorang yang baik hati dan bersahaja, mungkin sebab itu dia popular di kalangan teman-teman.
*************************************************************************************
Mir menutup bukunya. Dia berpaling memandang Dura yang terlelap. Wajah gadis itu jelas menunjukkan dia kepenatan. Mir menarik nafas panjang. Perlahan dia bangun, meletakkan bacaannya di atas rak, lantas menuju ke katil Dura yang bertentangan arah dengan katilnya. Dia mengalihkan beg Dura ke atas meja dan menanggalkan tudung Dura untuknya. Menyelimuti Dura separas pinggang. Mir melabuhkan punggung di sisi rakannya itu. Mir membuang pandangan ke luar tingkap.
  Dia teringat reaksi ragu-ragu Dura sewaktu kali pertama mereka masing-masing memperkenalkan diri sebagai teman sebilik. Gadis itu kelihatan cemas, takut-takut membalas salaman tangannya. Mir hampir tertawa waktu itu. Dia dapat memahami mengapa gadis itu bersikap sedemikian. Sekolah itu mempunyai jurang perbezaan yang besar antara taraf pelajar cemerlang dan dan pelajar yang berpencapaian kurang memuaskan. Dari segi bilangan serta pencapaian para pelajar cemerlang adalah membanggakan, namun bilangan pelajar yang dikategorikan sebagai pelajar bermasalah juga membimbangkan. Disebabkan itu bagi pelajar bertaraf elit, mereka diasingkan daripada kelas pelajar biasa dan diberi keistimewaan dari pelbagai segi.
  Walaupun begitu, hal tersebut tidak memberikan apa-apa impresi kepada Mir. Kebetulan sewaktu kemasukannya peperiksaan bulanan baru bermula. Dia menjawab soalan sewaktu peperiksaan secara acuh tak acuh dan tanpa persediaan. Tidak tersangka pula Mir dia  telah meragut tempat pertama daripada Iskandar, dan secara tiba-tiba dia menjadi tumpuan pelajar lain.
“Emm..”
Mir membetulkan selimut Dura yang terlurut. Gadis itu seorang yang ceria dan bertenaga,walaupun kasar, sama sekali berlainan dengannya. Setiap kali pulang dari kelas ada sahaja yang diceritakan gadis itu kepadanya. Tidak hairanlah Dura ramai kawan. Tidak dinafikan dia agak perlahan dalam pelajaran, namun Dura kuat berusaha. Dia juga bertanggungjawab, melaksanakan tugas yang diberikan padanya tanpa banyak soal tidak kira seberat mana pun tugas itu. Hasilnya, setiap kali selesai urusannya dia terjelepuk di katil.
“…Sebab tu lah kau ni lembab macam lembu…”
*************************************************************************************
“Dura, ketua pelajar panggil kau.”
Dura tersedak. Suapan nasi lemaknya terhenti. Apa lagi raksasa tu nak..
“Ada apa dia panggil aku Lia?”
“Entah, mana aku tahu. Kau pergi tanyalah sendiri.”
Mana aku tahu nenek engkau!! Apa guna kau jadi penolong ketua pelajar ha?!! Dasar pemalas!! Dura mengetap gigi. Ada lagi la kerja aku tu..
*************************************************************************************
“….Ha?!”
“Aku nak kau ukur keluasan padang sekolah tu dan tandakan tempat bersesuaian untuk setiap gerai ikut pelan ni. Dua hari kemudian aku nak tengok.”
Dihadapan matanya tersedia pelan lengkap tapak gerai setiap kelas untuk hari kebudayaan nanti, yang akan dibina di atas padang sekolah. Padang sekolah…
“Maaf tapi kenapa SAYA yang kena buat?”
“Sebab aku yang suruh.”
Dia dah gila. Mesti sebab tekanan sebagai seorang ketua pelajar terlalu besar. Mesti dia dah tak tahan. Mesti. TAPI KENAPA AKU YANG KENA?!!!!!!
“Takkan tak ada orang yang khas untuk tugas ni kan? Saya cuma setiausaha saja..”
“Sebab kau setiausaha la aku suruh kau. Kau yang sediakan pelan ni, jadi kau yang paling tahu apa nak buat.”
Aku buat pun sebab kau yang paksa jahanam.. Dura meneguk air liur, cuba mencari alasan.
“Tapi saya masih ada urusan lain lagi untuk persediaan hari tu..”
“Yang tu kau boleh buat kemudian. Selesaikan yang ni dulu.”
“Takkan saya seorang?”
“Yang lain ada kerja masing-masing. Hei, yang kau ni banyak tanya kenapa? Buat sajalah apa yang aku suruh!”
Dura kehilangan kata-kata. Kakinya terasa lemah. Matanya panas, tapi ditahan sedaya mungkin.
“Baiklah..”
Dura baru sahaja melepasi koridor untuk ke tangga apabila dia teringat bukunya yang dibawa bersama tadi tertinggal di bilik exco. Sewaktu sampai di depan pintu, Dura terdengar suara Iskandar dan Lia sedang bercakap-cakap.
“Is, nanti boleh tak awak suruh Dura susun dan taipkan nama-nama peserta acara hari kebudayaan tu nanti?”
“Sekarang ni dia ada tugas lain, bukan ke itu tugas awak? Ada apa-apa masalah ke?”
“Ala, saya dah penat kumpul semua senarai nama ni, tangan saya dah sakit-sakit dah. Ala, takpe. Dia kan setiausaha, lagipun dia rajin. Boleh la Is, please?”
“…Hmm, ok. Nanti saya suruh dia buat, tak apa. Kalau sakit tangan tu pergilah jumpa doktor. Nanti takut terseliuh ke apa.”
“Ok, terima kasih Is! Awak ni baiklah! Bertuah tau sekolah kita ni dapat ketua macam awak!”
Zap!! Hati Dura terasa bagai ditusuk pisau. Aku disuruh buat kerja separuh mati, ditengking, beraku-kau.. tak pernah walau secalit senyuman pun diberi.. Tapi dengan orang lain, dengan perempuan tu lembut saja bahasanya, sampaikan kerja dia pun aku disuruh buat..
  Dura melangkah, berlalu pergi tanpa mengambil balik bukunya. Langkahnya longlai, hatinya hancur luluh. Tanpa disedari, air mata yang selama ini ditahan, laju mengalir keluar..
*************************************************************************************
“Kau nak pergi mana?”
Mir hairan melihat Dura hari itu, senyap. Tidak kecoh seperti biasa. Dia begitu tergesa-gesa solat dan menyalin pakaian selepas mandi, walhal mereka baru sahaja selesai kelas terakhir untuk hari itu. Bagaikan ada hal penting sedang menantinya.
“Eh? Ah, aku ada kerja kat sekolah. Mungkin sampai ke malam, kau makan la dulu, tak payah tunggu aku.”
“Kerja? Kau tak makan ke? Lagipun macam nak hujan ni, kau nak pergi juga? Tak boleh tunggu esok ke?”
“Ah, umm. Kena siapkan hari ni juga. Tak apa, aku makan di kantin sekolah nanti. Eh, dah lewat ni, pergi dulu ya?”
Tergesa-gesa Dura meninggalkan bilik. Mir menghantarnya dengan pandangan mata. Sebaik sahaja rakannya itu hilang dari pandangan, Mir mengeluh.
*************************************************************************************
Hujan turun dengan lebat petang itu. Penat menaip, Is mengambil nafas dan menggeliat, merenggangkan urat bahunya yang terasa tegang. Menggigil tubuhnya dengan kedinginan air-cond sedangkan hujan begitu lebat di luar. Sewaktu jejaka itu bangun hendak menutup suis air-cond, dia terlanggar sesuatu hingga jatuh ke atas lantai. Dia mengutipnya kembali. Buku? Tertera nama Adura Seri Intan di atasnya. Bila masa? Jangan-jangan.. Iskandar lantas menuju ke tingkap, yang mengadap terus ke padang sekolah. Dia meninjau, mencari-cari kelibat yang diharapkan berada di situ. Tiba-tiba, matanya tertancap ke satu sudut padang. Nun jauh di sudut penjuru padang, kelihatan susuk yang cukup dikenalinya terbongkok-bongkok, kebasahan di dalam hujan yang menggila..
“Perempuan ni..”
Tanpa berlengah, Is berlari keluar dari bilik exco, menuju ke padang.
*************************************************************************************
Dura meraup mukanya yang dibasahi air hujan. Seluruh tubuhnya lencun. Namun dia tetap meneruskan kerjanya mengukur seluruh padang itu walaupun semakin sukar dek hujan yang menggila. Matanya mulai terasa kabur, tangannya sejuk. Perutnya juga terasa menyucuk dek kelaparan. Dari pagi Dura belum menjamah makanan, tadi juga dia terus datang ke padang untuk memulakan tugasnya. Namun dia tidak peduli, yang pasti dia mahu menyelesaikan tugasnya secepat mungkin. Sewaktu berundur untuk mengukur, kakinya terpelecok. Buk!! Mukanya tersembam ke tanah padang. Sewaktu mengangkat muka, sepasang kaki berdiri di hadapannya. Dura mendongak. Iskandar.
“..Apa yang kau buat ni?!”
“Saya tengah mengukur padang ni, selepas ni saya akan tandakan kawasan mula dari sana.”
“Aku bukan tanya tu! Apa yang kau buat tengah hujan lebat ni ha?! Kau dah gila ke?! Kan aku beri masa dua hari, esok pun boleh buat, bodoh! Dah, jom aku hantar kau balik!”
Dura memandang kosong ke arah jejaka itu. Sewaktu is memegang lengannya, menyuruh dia bangun, Dura menempis. Is tergamam.
“…Tak apa, saya nak siapkan hari ni juga. Lagipun esok saya kena siapkan semua kerja saya yang tertangguh, termasuk senarai nama peserta hari kebudayaan tu nanti..”
“Hoi, yang tu..”
“Tak apa, saya akan siapkan semua kerja saya sebelum hari kebudayaan.”
“Hei, dengar dulu apa aku nak cakap..”
“.. Dan bila hari kebudayaan selesai..saya.. nak letak jawatan.”
“A,apa?”
Is terpempan mendengar kenyataan gadis itu. Letak jawatan? Dura membisu, menyambung balik kerjanya yang terganggu. Hujan turun semakin lebat.
“…Mari balik..”
Dura menggeleng, meyambung kerjanya tanpa mengendahkan jejaka itu.
“Aku kata mari balik!”
Is merentap tangan Dura kasar, memaksanya bangun. Gadis itu menyeringai kesakitan, cuba meloloskan tangannya.
“Sakitlah! Tolong lepaskan tangan saya!”
“Jangan nak melawan, bangun!”
Wajah Is garang. Marah benar jejaka itu. Dura mengetap bibir. Apa lagi yang dia nak?!
“Lepaskan tangan saya!”
“Bangun!”
“Tak nak! Lepaskan tangan saya!”
“Diam! Aku kata bangun!”
“Tak nak!! Lepaslah!!!”
PANG!! Satu tamparan hinggap di pipi Is. Gadis itu sudah hilang sabar, nafasnya turun naik. Berjejeran air mata turun membasahi pipinya, bersama-sama butiran hujan. Dia sudah tidak peduli. Hatinya sudah hancur.
“Apa lagi yang kau nak ha?!! Semua kerja aku dah buat, apa kau suruh aku siapkan, kau nak apa lagi?!! Tak cukup lagi ke kau mainkan aku, pijak kepala aku?!! Seronok sangat ke ha kau buat aku macam ni? Apa salah aku dengan kau?!! Apa yang dah aku buat pada kau?!! Aku ni menyampah sangat ke kat mata kau? Meluat sangat ke kau dengan aku? Benci sangat ke dengan aku ni?!! Baiklah, kalau macam tu aku minta maaf banyak-banyak!! Aku tak ada niat pun nak kacau kau, ok?!! Aku akan buat semua kerja aku, dan lepas ni kau tak payah dah tengok muka ni lagi!! Jadi tolong, lepaskan aku!!”
Tanpa dapat ditahan lagi, Dura meluahkan segala isi hati yang terbuku di dadanya sekuat hati. Suaranya serak, matanya merah. Dadanya berombak kencang. Biarlah apa nak jadi, jadilah. Is diam membatu.
“..Diamlah.. kau ingat kau siapa? Senang-senang je nak letak jawatan, kau ingat kau boleh lepas macam tu je ke?”
“Haa? Apa, apa kau cakap ni?!”
Is merenung gadis itu, tajam. Dura meneguk air liur. Ingin dilawan kata-kata Is, tapi sinar dingin mata Is mematikan semangatnya. Berlainan benar is hari itu, sikapnya membuatkan Dura kecut perut. Tanpa berkata apa-apa lagi, Is menarik tangan gadis itu, memaksanya mengikut langkah Is. Dura cuba melawan, tetapi kekuatan Is bukan tandingannya. Dura diheret masuk ke dalam bangunan sekolah, ke bilik exco tertinggi. Hujan masih turun mencurah-curah. Dari jauh, kelihatan sesusuk tubuh memerhatikan gegalat mereka berdua..
*************************************************************************************
Is menarik lengan Dura kasar, membiarkan gadis itu terhempas ke atas sofa. Dura mengaduh kesakitan, punggungnya terasa sengal.
“Apa kau buat ni?!!”
Dura terperanjat tatkala Is merapati tubuhnya, memerangkap Dura di sofa. Dura cuba menolak wajah pemuda itu yang mula merapati mukanya, namun kedua-dua belah tangannya erat dipegang kemas oleh Is. Is memandang tepat ke dalam anak mata Dura, gadis itu menggeletar ketakutan. Dura memalingkan wajahnya yang terlalu hampir dengan wajah jejaka itu, namun pemuda itu rakus memegang rahangnya, memaksa mata mereka bertentangan.
“A,apa yang kau nak..ja,jangan..”
Getaran suara Dura jelas didengari, air matanya semakin laju menodai pipi.. Terhenjut-henjut bahu gadis itu menahan esak tangisnya. Melihat gadis itu yang ketakutan, Is tersenyum.
“Kau takut?”
Gadis itu menjawab dengan sedu tangisan,
“Hic..hic.. kenapa kau buat aku..hic..macam ni..hic..hic..apa salah aku..hic..”
Is dapat merasakan tangan gadis yang digenggam erat menggeletar, penuh ketakutan.
“Kau degil sangat..kau buat aku marah..kau ni nakal sangat..”
Suara dingin Is berbisik di telinganya. Dura terasa seluruh tubuhnya lemah.
“Kau nak letak jawatan ke nanti?”
“Kan aku dah kata!..”
Genggaman tangan Is bertambah erat. Tubuh Dura dihimpit, rapat ke sofa. Dagu Dura diangkat, mata mereka bertentangan,tepat-tepat.
“Kau nak letak jawatan ke nanti?!”
Suara Is tenang, tetapi begitu dingin, berbaur ancaman. Dura sudah hilang kekuatan untuk melawan lagi..
“Jadi?”
Is tersenyum, namun penuh kejahatan bagaikan serigala lapar. Dura tidak mampu lagi mempertahankan semangatnya..
“T..tak.. nak..”
“Oh, betul ni?”
Dura mengangguk laju. Air matanya keluar mencurah-curah.
“Lain kali jangan sebut pun pasal hal ni lagi, ok?”
Sekali lagi Dura mengangguk, laju. Is masih tersenyum, genggamannya dileraikan. Dia bangun dari sofa. Sebaik sahaja Dura bebas, dia merengkot di hujung sofa, masih dengan sedunya. Is memandang gadis itu lama, penuh erti.
Is mengambil sapu tangan dari dalam laci meja berdekatan lalu kembali menghampiri gadis itu. Dura tersentak, cuba menjauhinya namun jejaka itu terlebih dahulu memerangkapnya. Dura tidak mampu lari, hanya cuba menahan sedunya yang masih berbaki. Perlahan, Is mengelap wajah Dura yang kebasahan hujan dan air mata. Kini wajahnya berbeza sekali, sinar matanya penuh kelembutan menatap gadis itu. Dikesatnya butir-butir air mata Dura penuh hati-hati. Tanpa disedari, Dura kembali tenang dilayan sebegitu, tangannya sudah berhenti menggeletar. Sentuhan Is lembut dan hangat, sesuatu yang tidak pernah dirasainya daripada jejaka itu sebelum ini. Dan matanya tertutup perlahan-lahan, dia tertidur di bahu Is.
“Kau memang melampau kali ni..”
Is berpaling mencari arah suara itu. Berdiri dengan lencun kebasahan di depan pintu, Mir memandang Is dingin. Is tersenyum.
“Kau nampak semuanya?”
“Dari awal hingga akhir.”
“Kau pun melampau, tak tolong kawan kau yang menangis tersedu-sedu.”
Mir mengeluh.
“Kalau aku buat macam tu pun bukannya akan habis kat situ saja kan?”
Mereka saling berpandangan, penuh erti. Sinar mata Mir juga dingin, jejaka itu mengangkat bahu tanda mengalah.
“Kau memang cerdik, cik Amira Huzairi. Aku mengaku kalah. Memang tak boleh nak sembunyikan apa-apa pun daripada kau ya?”
“Aku terima pujian kau. Tapi aku tak gembira dengan tindakan kau. Tak boleh ke kau bertindak normal ha?”
  Is ketawa kecil. Tidak menyangka terdapat orang yang mengetahui rahsianya dengan sekali pandang. Selama ini dia berlakon dengan cukup baik, hinggalah gadis itu datang ke sekolah mereka. Rakan paling kuat, dan musuh yang paling ketat.
“Sebab dialah aku tak boleh bertindak normal..”
“Heh, tak guna kau cakap kalau empunya badan tak dengar..”
“Aku tak bercadang nak bagitau apa-apa hinggalah aku betul-betul dapat genggam dia dalam tangan aku..”
“Tapi keadaan dah berubah kan?”
“Oh, jadi kau tau?”
“Kali pertama kau hilang kawalan macam tu, tentunya dia dah cakap sesuatu yang mengejutkan kan? Dia akan mula bencikan kau..”
“Aku tak kisah. Aku akan pastikan dia kejap dalam genggaman aku sampai tak mampu lagi nak lari ke mana-mana..”
Mir mengeluh. Lelaki yang pelik. Kali pertama aku jumpa lelaki yang begitu taksub dengan gadisnya. Mir bukan tidak kesian dengan Dura, namun dalam pertimbangannya elok jika dia tidak masuk campur. Kali pertama dia melihat Is dia dapat menangkap maksud renungan jejaka itu terhadap Dura. Dia sukakan gadis itu..terlalu menyukainya..
Fine, I’ll let you of the hook this time, but if again you made her cry not because of her stupidity, you’ll know what pain means.”
Amaran Mir kedengarannya keras. Is menabik, faham dengan ancaman itu.
“Roger that.”
*************************************************************************************
Dura membuka matanya. Kat mana ni? Bilik? Bila aku balik bilik ni? Terpisat – pisat gadis itu bangun berteleku di atas katil, cuba mengingati apa yang berlaku sebelumnya. Peristiwa di padang sekolah melintas di fikirannya, Dura tersentap. Teringat keterlanjurannya. Aku tampar dia….HABISLAH!!!!!!
“ Apa yang ko membebel sorang-sorang tu?”
Dura berpaling. Kelihatan Mir yang baru selesai mandi melangkah masuk ke dalam bilik.
“ Mir..”
“Ye,akulah. Tak kan kambing pulak..”
“ Macam mana aku boleh sampai bilik?”
“ ….Ape kau merepek ni,ko balik sendiri la..”
Malas mahu melayan Dura yang masih mamai, Mir menyibukkan diri. Tak mahu dia memanjangkan cerita, silap- silap dia terheret sama dalam kisah mereka. Buat masa sekarang dia mengambil keputusan untuk menjadi pemerhati sahaja, mahu juga dia lihat sejauh mana lelaki itu sanggup bertindak.
Dura yang ditinggalkan sendirian, masih terkebil-kebil di atas katil.
*************************************************************************************
Peluh dingin memercik ke dahi Dura. Kakinya beku di depan bilik exco. Seperti jangkaannya, sebaik sahaja loceng rehat berbunyi, dia dipanggil ke bilik exco oleh Iskandar. Jika biasanya dia datang dengan kemarahan membuak-buak, kali ini perutnya kecut, sedia maklum akan kelancangan tindakannya semalam. Hatinya resah, berdebar memikirkan nasibnya nanti. Tatkala Is bersuara mengarahkan dia masuk, jantungnya terasa seperti hampir gugur.

 Iskandar merenung kelibat gadisnya yang menikus, menunduk memandang lantai. Hampir dia tergelak tapi sempat ditahan. Inilah kali pertama dia dapat melihat gadis itu begitu senyap di hadapannya, kerana pada kebiasaannya gadis itu garang, ada sahaja katanya cuba dilawan. Semasa Is bangun dan cuba mendekatinya, Dura tersentap, segera mengundur. Namun Is lebih pantas, memerangkap Dura di depan pintu.

“ A..apa awak nak…”

Terketar- ketar Dura mengucap kata.

“ Kau rasa kenapa?”

Tajam sahaja pandangan Is, bagai mahu menelan Dura.

“ Sss,saya minta maaf pasal semalam…ssaya tahun saya dah melampau….”
“ Apa yang kau dah buat semalam?”

Dura meneguk air liur, nampaknya Is sedang mengujinya, Dura tak akan terlepas dengan mudah.

“ Sss,saya..berkasar dengan a,awak..”

“ Berkasar?”

“ Is, tolonglah, saya minta maaf..”

“ Macam mana aku nak maafkan kalau aku tak tahu apa yang salah?”

“ Saya tampar awak, dan kurang ajar dengan awak…”

“ Itu saja?”

“ Apa lagi…apa lagi yang awak nak…”

Air mata sudah mula bertakung di kelopak matanya, Dura menunduk memandang lantai. Tak sanggup rasanya mahu bertentang mata dengan pemuda itu. Setitis, air mata menitik.

“ Tolonglah, saya minta maaf…saya tahu saya salah. Saya akan letak jawatan kalau tu yang awak nak, apa saja yang awak nak. Cukuplah, tolong maafkan saya..”

“…Apa sahaja yang aku nak?”

Dura mengangguk, perlahan. Bibir Is mengukir senyuman, penuh makna. Dia menyua telefon bimbit yang terpasang ke muka Dura.

“ Cakap ‘Saya setuju’ sekarang.”

“ Ha?”

“ Cakap ajelah jangan banyak songeh.”

“…Saya setuju…”

Iskandar tersenyum kemenangan, Dura terkebil- kebil. Is kembali bercakap dengan telefonnya.

“ Abang dah dengar kan kan?”

Suara dari hujung sana mengeluh.

“ Kau ni Is…”

Selesai Is bercakap, dia menghulurkan telefon bimbitnya kepada Dura, menyuruh dia bercakap. Dura, masih dalam kekeliruan menyambut telefon. Kedengaran suara yang amat-amat dikenalinya..

“ Ayah cuma nak cakap ayah tak kisah asalkan kau bahagia nak. Kalau ini yang kau pilih, ayah restu.”

“ Ha??” Dura terkebil-kebil dengan mulut ternganga. Is hampir ketawa melihatkan Dura tapi ditahan.

Kemudian adik perempuannya pula mengambil giliran bercakap.

“ Wah, kakak ni hebat betul! Mane kakak rembat mamat tu haa?? Hensem gile~~~”

“Ha??? Mamat mane ni Sya??”

“ Ala, tunang kakak la! Dalam gambar sikit punye hensem, orang betul dia mesti lagi hensem kan kak?? Ee, kakak ni pandai betul, sempat lagi ekk… Dah la kaya,hehe. Bapak die datang merisik tadi dengan Benz tau! Jelesnye saye!!”

Hampir gugur jantung Dura mendengar kata-kata adiknya… Tu,tunang?! Dura memandang ke arah Is, meminta penjelasan. Pipinya merah, matanya berkaca. Is cuma tersenyum nakal sambil mengenyit mata.

“ Kan kau yang kata sanggup buat apa- apa je?”

Dura hilang kata- kata.









1 comment:

  1. OMG !!
    My favourite type of story :)
    LOVE IT !!!!!!!!!! <3

    ReplyDelete