Tuesday 5 June 2012

Antologi Si Pembuli (Prekuel); 1 Tahun


“ Mir, ada pelawat nak jumpa kau!”

“ Siapa Nur?”

“ Entahlah, tapi dia kata kau kenal dia. Lelaki.”

“ Oh…”

Setelah selesai menunaikan solat Asar petang itu, Mir tiba – tiba didatangi seorang pelawat yang tidak dijangka. Jejaka yang dalam usia 30 – an itu tersenyum dan memberi salam tatkala Mir tiba, mempersilakan gadis itu duduk di bangku di hadapannya penuh hormat. Seraya menarik nafas dalam, jejaka tersebut menutur bicara,

“ Maaflah sebab panggil Mir keluar tiba – tiba macam ni. Tapi, tak sangka betul ya dah dekat 7 tahun kita tak jumpa, dah besar panjang dah Mir sekarang.”

“ Ya, maaf sebab tak berhubung dengan abang.”

“ Tak apa, abang faham. Mir macammana belajar, ok?”

“ Alhamdulillah, semuanya baik.”

“…….”

“ ….. Ada apa – apa yang abang nak tanya saya?”

“ Ek, eh… Aa… Tu… Err….”

“ Abang nak tanya pasal kak Rina?”

Mendengarkan nama itu, air muka Izhar berubah. Dia menunduk, matanya sayu memandang lantai. Mir merenung batang tubuh dihadapannya sebelum mengalih pandangan ke arah panorama taman sekolah.

“ Dia sihat abang, janganlah bimbang.”

“ Ya, yakah? Baguslah kalau macam tu.”

“ Abang pula macammana sekarang? Semuanya baik?”

“ Alhamdulillah, macam tulah. Tapi..”

“ Tapi?”

“ Sampai sekarang abang masih kesal. Kalaulah abang sempat minta maaf dengan dia..”

“ Tak apa, dia dah lama maafkan abang. Lagipun abang tak buat apa – apa salah pun sebenarnya.

“ Tapi sebab abang, Rina menderita. Semuanya salah abang!”

“ Abang…. Memang baik. Terlalu baik.”

“ Mir?”

“ Sebab abang terlalu baiklah, kak Rina ambil keputusan macam tu. Dia tak mahu abang disakiti.”

“ Mir… Boleh Mir bagitau abang kat mana Rina sekarang?”

“ Untuk apa?”

Jawapan tegas Mir itu membuatkan Izhar terdiam. Izhar faham, tak ada gunanya jika dia berjumpa Rina sekarang jika hanya untuk meminta maaf. Jika hanya untuk meminta maaf….

*************************************************************************************

“ Apa, kahwin???”

      Petang itu Izhar pulang dari kerja dengan ibunya menyambut kepulangan Izhar di muka pintu, membawa berita keputusan ayahnya untuk mengahwinkan Izhar dengan anak Dato’ Salem, rakan seperniagaan ayahnya. Izhar cuba membantah namun ayahnya tegas, tidak mahu beralah. Semuanya demi cita – cita ayahnya untuk mengembangkan empayar perniagaannya. Dalam paksa, Izhar akhirnya selamat melangsungkan perkahwinan dengan Rina, anak perempuan Dato’ Salem yang baru sahaja menamatkan pengajian di luar negara tidak lama sebelum perkahwinannya. Sewaktu malam pertama, Izhar duduk berteleku di hujung katil, mengingati wajah Aisyah yang dibasahi air mata sewaktu mendengar perkhabaran perkahwinan Izhar. Aisyah, seorang guru tadika yang lembut dan penuh budi bahasa telah menjadi cinta hatinya sejak sekian lama. Tanpa mempedulikan status dirinya seorang anak Dato’, Aisyah tulus menghulurkan cintanya pada Izhar. Hingga ke akhirnya pun, Aisyah tetap mengakhiri detik cinta mereka dengan senyuman sayu dan doa agar pelamin hidupnya bahagia hingga ke akhir hayat. Berat hatinya untuk melepaskan Aisyah pergi namun memikirkan masa depan gadis yang bakal diperisterikannya, Izhar redha, sambil mendoakan agar Aisyah bertemu jodoh yang lebih baik darinya kelak.

“ Assalamualaikum.”

Pintu diketuk, terpancul wajah Rina dari sebalik pintu, melangkah masuk ke dalam bilik.

“ Waalaikummussalam.”

Rina meghulur tangan, bersalaman sambil mencium tangan Izhar. Sedikit kaget, salaman tangan itu dibalas kekok. Rina melabuhkan punggung di kerusi meja solek, bertentangan dengan Izhar. Tidak tahu apa yang patut dilakukan, Izhar menunduk, memandang lantai. Rina ketawa kecil.

“ Izhar?”

“ Y,ya?”

“ Saya tak mahu belit – belit jadi biar saya cakap terus – terang sajalah ya?”

Izhar mengangkat muka, meminta penjelasan maksud kata – kata Rina sebentar tadi.

“ Jujur cakap, awak tak mahu kahwin dengan saya kan?”

Izhar terdiam, meneguk air liur mencari kata.

“ Tak apa, saya faham. Mak awak ada bagitau saya, katanya awak dah ada kekasih. Maaflah, sebab saya nak tahu, saya sengaja pergi tengok perempuan tu kat tempat kerja dia. Cantik, manis sangat.”

“ I,itu dulu. Kami dah putus sebelum majlis akad nikah.”

“ ….. Awak…. Masih sukakan dia?”

“………….”

“ Sebenarnya, saya tak kisah kalau awak masih nak teruskan hubungan dengan dia. Kalau awak nak kahwin dengan dia pun tak apa.”

Izhar terkejut mendengar kata – kata Rina. Dia memandang Rina tepat, bagaikan tidak percaya dengan apa yang Rina nyatakan. Rina cuma tersenyum, matanya meredup.

“ Dia seorang yang baik. Sayangnya kalau dibiar begitu sahaja kan? Lagipun, cinta awak pada dia kuat, saya dapat tengok tu, awak ikhlas. Saya kagum tengok kamu berdua. Rugi rasanya kalau hubungan yang kamu berdua bina dengan ampuh ni, runtuh macam tu sahaja. Lagipun, dah jelas kita berdua tak cintakan antara satu sama lain. Awak, memang lagi sesuai bahagia dengan dia.”

“ Rina… tapi kita…”

“ Saya faham, ibu bapa kita nak kita bersama. Tapi jujurnya saya tak sedia lagi. Yalah, saya baru saja habis belajar, bagi saya perkahwinan ni terlalu awal. Tapi sebab ayah terlalu berharap, saya setuju. Tapi saya tak dapat nak tipu diri sendiri, saya masih tak bersedia nak beri komitmen sejauh tu.”

“ oh, macam tu. Tapi saya tak rasa mak dan ayah akan setuju kalau saya nak kahwin satu lagi pun. Nak – nak pula kita baru sahaja bernikah.”

“….. 1 tahun.”

“ Ha?”

“ Kita beri mereka masa 1 tahun. Saya rasa itu dah cukup untuk puaskan hati mereka. Bila mereka tak dapat zuriat daripada kita, saya rasa mak ayah awak takkan halang hasrat awak lagi.”

“….. Awak, betul – betul tak ada masalah macam ni?”

Rina ketawa kecil.

“ Macam yang saya kata tadi, saya pun akan dapat kebebasan, cuba bersabar untuk 1 tahun je.”

“ Baiklah kalau macam tu.”

“ Baguslah. Harap awak bersabarlah ye dengan saya untuk satu tahun ni.”

“ Haha, saya jugak, sama – samalah kita.”

Dan tirai malam itu berlabuh.

*************************************************************************************
      Selama yang aku ingat, aku tak pernah tengok muka mak. Nama dia pun aku tak tau. Bila aku cuba tanya ayah, ayah senyum saja, tak cakap apa – apa. Masa aku naik darjah satu, ayah kahwin dengan ibu. Ibu baik, cantik, suka belikan aku permainan, macam – macam pulak tu. Ibu ada seorang anak perempuan tua 8 tahun dari aku, cantik juga. Dia suka senyum. Dia selalu tolong aku buat kerja sekolah. Pandai sangat. Bila aku naik darjah dua, satu hari aku balik dari sekolah, aku tengok kakak berlari masuk rumah, menjerit kegembiraan. Aku pun ikut masuk, mengintai dari pintu. Aku tengok ibu menangis, ayah pulak senyum meleret. Rupa – rupanya keputusan SPM kakak keluar, kakak lulus cemerlang. Baguslah, semua orang gembira. Semua orang gaji pun gembira. Aku tengok ibu peluk, cium kakak bertalu – talu. Lepas tu giliran ayah pula. Kakak pun balas peluk mereka. Semua orang gembira. Tapi mereka tak pernah sentuh aku. Sekali pun tak.

      Satu malam aku turun ke dapur, haus nak minum air. Masa sampai di pintu aku dengar Mak Cik Limah dengan Kak Liza orang gaji kami bercakap – cakap.

“ Eh, betul ke apa yang Mak Limah bagitau ni?”

“ Betul Liza, Mak Limah tak tipu. Mak Limah bekerja kat sini dah lama, sejak isteri pertama Dato’ ada dekat sini lagi, masa tu diorang muda, baru – baru kahwin lagi. Hubungan mereka baik – baik aja Mak Limah tengok, Dato’ layan isterinya bukan main penuh kasih sayang lagi. Tapi cik puan tu senyap, sombong sikit. Dah dekat dua tahun mereka kahwin, cik puan mengandung, bukan main gembira lagi Dato’ , sanggup pergi ke ceruk kampung mahu mencari jeruk buah pala untuk cik puan masa dia mengidam. Tapi lepas je cik Rina lahir nak dekat sebulan, cik puan tiba – tiba hilang. Puas dah Dato’ cari merata ceruk, tak jumpa. Siap buat laporan polis, pun senyap, sampai sekarang. Ada orang kata cik puan lari ikut lelaki lain ke Siam sebab Dato’ tak cintakan dia.”

“ Hish, tak kan la macam tu pulak Mak Limah. Jahat sangat ke cik puan tu?”

“ Tulah, mula – mula Mak Limah pun tak mahu percaya, tapi bila Dato’ kawin dengan Puan Rasidah tu, Mak Limah dah mula ragu – ragu. Sebab dengar katanya Puan Rasidah tu asalnya dulu kekasih Dato’ sebelum dia dipaksa kahwin dengan cik puan.”

Aku tak jadi nak masuk ke dapur. Aku dengar saja perbualan mereka dari sebalik pintu. Entah kenapa, tangan aku rasa sejuk. Menggeletar. Dada aku pun rasa sakit. Sakit betul. Aku tak pernah kenal mak, sebab mak tak mahu aku.
 
      Satu hari hujan lebat turun masa aku balik dari sekolah, kat tengah jalan tiba – tiba aja turun mencurah – curah. Tak sempat nak lari berlindung, jadi aku terus berjalan aja. Tiba – tiba aku nampak seekor anak kucing kat tepi jalan. Aku cuba cuit dia, tapi dia diam aja. Keras. Bila aku angkat, ringan betul. Sejuk betul. Aku tak tahu macam mana nak bangunkan anak kucing tu, jadi aku bawak lah ke klinik haiwan dekat – dekat situ. Dah tutup, mungkin sebab dah lewat sangat. Bila aku nak pergi, tiba – tiba seorang makcik buka pintu.

“ Kamu nak apa?”

“ Saya jumpa kucing ni, tapi saya tak tahu macammana nak bangunkan dia. Dia asyik tidur aja.”

Makcik tu pandang kucing tu lama – lama.

“ Kucing tu dah mati.”

Makcik tu suruh aku masuk, dia kata nak tanam kucing tu. Aku tanya kenapa nak tanam? Katanya tu tempat kucing tu tidur selama – lamanya. Makcik tu tinggi, rambut dia panjang tutup sebelah mata. Masa angin kuat bertiup masuk klinik, aku tengok ada parut panjang kat pipi kiri dia.

“ Kucing ni dah lama mati, agaknya ditinggalkan ibunya masa baru lahir. Dah sejuk dah pun.”

“ Jadi kucing tu mati?”

“ Mungkin macam tu.”

“ Kalau macam tu saya pun dah mati la.”

“ Kenapa kata macam tu?”

“ Sebab saya pun ditinggalkan mak masa baru lahir. Dan saya pun rasa sejuk sangat.”

Mak cik tu diam aja, tak cakap apa – apa. Dia bagi aku tuala suruh keringkan badan. Lepas hujan berhenti, kami tanam kucing tu kat luar klinik. Bila aku balik dah nak dekat malam, ayah marah betul. Ayah tanya aku ke mana, aku cakap aku berteduh dari hujan dekat kedai. Aku tipu.

      Sejak tu aku selalu pergi ke klinik tu, nak tengok kubur kucing. Kadang – kadang makcik tu suruh aku tolong dia. Sebagai balasan, dia belanja aku makan. Makcik tu selalu bersiul satu irama ni, yang aku macam pernah dengar lama dulu. Tapi aku tak ingat, jadi aku diam dan dengar saja. Satu hari tu, macam biasa makcik belanja aku makan nasi ayam, kami makan dalam klinik. Masa makan, aku perasan makcik asyik pandang aku. Tapi aku buat tak endah. Bila aku nak balik makcik tiba – tiba peluk aku kuat – kuat, cium dahi aku, suruh aku hati – hati bila berjalan. Itu kali pertama ada orang sentuh aku. Hangat, selesa. Kali pertama aku rasa macam tu. Dan kali terakhir.

      Esoknya masa aku nak cari buku yang terjatuh celah almari, aku tertarik satu diari lama yang terselit kat situ. Bila aku buka dan baca, baru aku tahu. Itu diari mak. Mak dah lama sukakan ayah, sejak kecil lagi. Masa dapat tahu dia akan kahwin dengan ayah, mak gembira sangat. Tapi bila dah kawin, baru mak tahu. Dalam hati ayah, ada orang lain. Dalam mata ayah, pandang orang lain. Dalam ingatan ayah, ingat orang lain. Tapi ayah sanggup putus kasih dengan orang tu bila dah kahwin dengan mak. Ayah seorang yang baik, mak sangat cintakan dia. Tapi ayah tak cintakan mak. Ayah tak pernah sentuh mak tapi mak tak bencikan ayah, sebab dia sangat baik pada mak. Dia berusaha jadi suami yang baik, cuba belajar cintakan mak. Tapi mak tahu, ayah tak boleh lupakan orang tu. Mak cintakan ayah, tapi kebahagiaan ayah mak tak dapat beri. Mak tahu semua tu, mak faham betul. Bila satu malam ayah tiba – tiba demam dan tak dapat kawal diri, mak gembira. Mak berharap mungkin kali ni, ayah akan pandang mak dalam matanya. Tapi bila ayah minta maaf bersungguh – sungguh esok paginya, wajah ayah menderita sangat. Ayah rasa bersalah sangat – sangat. Dari situ mak dah faham, ayah dah hilang mentari hidup dia. Mak bukan mentari dia, mak cuma bayang – bayang malam yang mengintai dari tabir, menyintai senyumannya tatkala disinari mentari hidupnya. Awal mengandung, mak batuk – batuk dan muntah darah. Dada mak sentiasa sakit. Tapi mak tak bagitahu ayah, sebab ayah sedang gembira nak dapat zuriat. Bila mak periksa doktor, doktor cakap dia ada barah paru – paru, tak dapat hidup lama. Mak senyum, mak terima. Mak minta doktor jangan bagitahu sesiapa, sebab mereka orang baik – baik. Mereka pasti sedih kalau tahu. Mak kuatkan semangat nak hidup, sampai takat mana dia boleh. Tapi bila anaknya masuk sebulan, mak dah tak dapat nak sembunyi. Mak terpaksa pergi. Sebab mereka orang baik – baik. Mak tak mahu susahkan mereka. Anak tu pun berhak hidup gembira. Sebab mak sangat pentingkan diri, biarlah anak tu benci mak pun. Mak sayangkan dia.

“ Mak bersyukur, berterima kasih sangat dapat lahir ke dunia ni. Dapat jumpa keluarga, ayah, semua orang, Rina… Mak bersyukur, berterima kasih sangat – sangat Rina lahir ke dunia ni jumpa mak. Mak sangat sayangkan Rina, cintakan Rina. Mak cintakan ayah. Terima kasih sebab beri peluang untuk mak cium tangan ayah, terima kasih… Rina, terima kasih kerana lahir bertemu mak, terima kasih. Tolonglah hidup dengan gembira.”

      Tiba – tiba aku teringat masa aku dalam buaian, mak selalu siulkan lagu untuk aku tidur. Lagu yang makcik selalu siulkan…. Baru aku tahu, makcik tu mak. Tapi dah terlambat. Bila aku pergi ke klinik, mak dah kaku depan pintu. Darah banyak keluar dari mulut mak. Aku cuba cuit mak, tapi mak diam aja. Mak dah sejuk. Mak… dah mati. Macam anak kucing tu. Tangan aku menggeletar lagi. Sejuk. Dada aku rasa sakit sangat, sakit betul. Tapi aku tak tahu kenapa.

Malam tu kecoh depan klinik tapi aku senyap – senyap keluar ikut pintu belakang. Ada orang datang uruskan mak. Pagi esoknya berita mak keluar kat TV, bila ayah tengok gambar muka ayah berkerut sekejap. Lepas tu dia biarkan. Mungkin sebab muka mak lain. Mungkin sebab nama mak lain. Mungkin sebab ayah dah lupakan mak. Tapi aku diam aja. Sebab ayah seorang yang baik. Kalau ayah tahu, ayah akan salahkan dirinya seumur hidup. Jadi biarlah ayah kekal tak tahu. Biarlah ayah kekal senyum dengan mentari dia. Mesti mak pun akan buat macam tu. Sebab mak cintakan ayah.

       Sewaktu aku menengah tinggi, sekolah aku buat lawatan ke rumah anak yatim, program sehari bersama mereka. Masa kat sana aku tengok ramai budak – budak bersorak, gembira tengok kami datang. Kecuali seorang budak perempuan. Diam saja tengok kami dari jauh. Aku cuba dekati dia, mujur dia tak lari. Bila aku tanya nama, dia tenung mata aku lama – lama. Sebab rasa kekok, aku senyum aja.

“ Kakak….”

“ Hmm?”

“ Senyum…. Atau menangis?”

Aku terdiam. Matanya… saat itu aku usap kepalanya lembut. Aku tarik nafas dalam – dalam.

“ Entahlah….. kakak pun tak tahu.”
“ Yakah?”

“ Kakak suka dengan kau.”

“ Terima kasih. Kenapa?”

“ Entahlah… Mungkin sebab mata kita sama?”

“ Mungkin juga.”

Bila aku disuruh berkahwin dengan Izhar, aku terima saja. Asal ayah gembira. Tapi bila aku lihat mereka bersama…. Akhirnya aku faham perasaan mak. Mereka.. Macam cahaya… Terang… Dan indah… Menakutkan. Bila Izhar senyum… tangan aku rasa hangat. Dada aku rasa selesa. Aku jadi tamak. Kalaulah cahaya tu milik aku…. Bila aku sedar semuanya dah terlambat, aku dah jatuh cinta pada dia. Aku mula berani berharapan. Tapi aku sedar, tak semua benda dalam dunia ni boleh berubah. Aku tahu, Izhar tak cintakan aku. Dalam hati Izhar ada orang lain, dalam mata Izhar pandang orang lain, dalam ingatan Izhar ingat orang lain. Dan aku mula faham bentuk cinta yang mak kata ni. Walaupun senyuman hati itu takkan jadi milik aku, walaupun kau bahagia gembira memberi senyuman pada orang lain selain dari aku, jika itu bermakna kau akan bahagia, aku ditelan dingin ais yang beku ini pun tak mengapa. Ini cintaku padamu. Sebab aku seorang yang tamak, sebab aku seorang yang mementingkan diri, biar hilang ditelan angin tanpa suara, aku cinta padamu, dan kenyataan itu tidak akan berubah selama - lamanya. aku doakan semoga kau bahagia. Selamat tinggal, Izhar.

*********************************************************************************

P/S : Saya ada masalah sikit dengan yang ni sebab rasa mungkin terlalu susah difahami/pelik? Mintak bagi pendapat adakah macam ni sudah okay dan teruskan atau patut saya ubah/"Melayukan" sikit agar senang difahami? (Maaf, saya baca Detektif Conan versi Melayu jadi kadang - kadang hahaha.... +_+)



10 comments:

  1. tak susah untuk faham.. dan tidak juga pelik..
    cara yg baik untuk menamatkan sesuatu bab..
    buat pembaca tertunggu2 bab seterusnya..
    tapi mmg wat pembaca nak putus nyawa kalau bab seterusnya tu sangatlah lambat nak dapat dibaca.. hehehe... NEXT!!

    ReplyDelete
  2. oh ya.. ada plak Dura kat atas tu.. ke sepatutnya Mir??

    ReplyDelete
  3. hmm? Dura? katne? x perasan pulak sy?

    ReplyDelete
  4. yang ni! yang ni!

    'Mendengarkan nama itu, air muka Izhar berubah. Dia menunduk, matanya sayu memandang lantai. Dura merenung batang tubuh dihadapannya sebelum mengalih pandangan ke arah panorama taman sekolah.'

    ReplyDelete
  5. ahaha,salah tulis, x perasan,haha.thanks.

    ReplyDelete
  6. eh laling.. cerita u nie leh kopipes laa.. bek u disable kan.. takut nanti ada plak yg ngaku citer ni hakmilik diorang..

    ReplyDelete
  7. camne nk disable? x reti..huhu..+_+

    ReplyDelete
  8. eerrr.. ai pun dah luper camna nak wat disable tu...
    cer u tanya conan.. mesti dia tau.. kihkihkih...

    ReplyDelete
  9. kalau la die tahu blog tu ape da lame tnye,haha...biarlah, kalau ade yg sanggup buat mcm tu biar tuhan je lah yang balas, sy xde ape pn,haha...

    ReplyDelete
  10. cepat la yang oooiiii... semput ai nunggu.. hehehe

    ReplyDelete